Warga emas tinggal sebatang kara, mengharap kasih jiran

KOTA BELUD – Nenek berusia 88 tahun ini dahulunya mengusahakan padi bukit di Kampung Sayap, tetapi kini kehidupan hariannya hanya mengharap kasih jiran selepas berlaku satu kemalangan ke atas dirinya.

Berbicara dengan Yumpol Yasangan perlukan bantuan daripada Pengerusi Komuniti 1Malaysia, Kisoh bin Gembiar kerana dia hanya bertutur dalam bahasa Dusun.

Menurut Kisoh, Yumpol tinggal sebatang kara selepas suaminya meninggal. Tidak dikurniakan cahayamata, Yumpol hanya berharap ihsan daripada jiran untuk memberinya makanan setiap hari.

Ibrahim(kanan) menyampaikan sumbangan kepada Yumpol (tengah) sambil diperhatikan oleh Kisoh (kiri)

“Kemalangan berlaku ketika Yumpol sedang ‘menugal’ atau membuat lubang untuk menanam padi apabila tiba-tiba tanpa disadarinya sebuah batu besar jatuh daripada atas bukit dan menimpa tangan kirinya.

“Dalam suasana panik itu, rakan-rakan yang ada berhampiran segera membawa dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun tangannya tidak dapat diselamatkan,” ujar Kisoh.

Katanya juga, mereka sangat gembira menerima kehadiran ramai tetamu daripada Jabatan Penerangan Malaysia yang sudi menjenguk mereka dan juga menghulurkan sumbangan.

“Sememangnya kami merasa bangga terpilih antara banyak kampung yang ada di daerah ini dan kita pastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan seperti ibu tunggal, balu dan Orang Kelainan Upaya.

“Kami juga berharap agar JaPen sudi melawat kami lagi kerana masih ada lagi yang memerlukan dan kita harap sumbangan yang diperoleh dapat dirasai oleh semua,”ujar Kisoh.

Mereka ditemui pagi tadi dalam Program Kembara Jalinan Kasih (KJK) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia yang diketuai oleh Ketua Pengarah Penerangan, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman.

Menurut Ibrahim, konvoi ini merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan sempena Program Negaraku: Menghubung Menyatu @ Kota Belud.

“Alhamdulillah bantuan telah selesai diagihkan dan kita berharap bantuan-bantuan tersebut dapat memberikan sedikit kelapangan dalam kehidupan mereka.

“Apa yang lebih penting Kembara Jalinan Kasih ini menjadi satu sentuhan hati kepada mereka yang kebanyakannya tinggal bersendirian, tiada keluarga malah ada yang tinggal jauh daripada jiran.

“Jadi dengan cara ini, gabungan daripada pelbagai agensi sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan mereka kerana ada yang menziarahi rumah mereka dan sedikit sebanyak memberi bantuan.

“InsyaAllah satu hari nanti kita akan datang lagi dan kita akan cuba membaiki rumah yang mereka baiki ini sebagai satu usaha dalam Program Menghubung dan Menyatu,”katanya.

Program tersebut telah disertai oleh 20 kenderaan secara konvoi melibatkan 10 buah keluarga di Kampung Sayap dan Kampung Tengkurus yang telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian, bantuan perubatan serta kewangan.

KJK yang dijalankan di Kampung Tengkurus pula diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Acara kemuncak KJK ialah Kenduri Rakyat yang diadakan secara gotong royong bersama masyarakat setempat di Balai Raya Kampung Tambulion.

Turut serta dalam konvoi tersebut, Pengarah Penerangan Sabah, Swady Guliling; Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam; Ketua Penolong Pengarah JaPen, Wasrin Zakaria./PENERANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *