UMS sumbang RM30,000 dana alumni kepada fakulti

Tun Zaki (dua kiri) menyampaikan cek sumbangan dana alumni kepada Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam, Prof. Dr. Baba Musta sambil disaksikan Datuk D Kamarudin (tepi kiri).

KOTA KINABALU: Sejumlah RM30,000 sumbangan diperuntukkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membantu aktiviti alumni di peringkat fakulti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, peruntukan itu disumbangkan bertujuan memberi bantuan kepada pihak fakulti menjalankan aktiviti berkaitan alumni masing-masing dengan lebih berkesan.

“Semoga usaha murni ini terus mendapat sokongan dan kerjasama antara pihak pengurusan dan fakulti untuk sama-sama memastikan hubungan dengan alumni UMS terus terjalin erat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Alumni kepada 10 fakulti UMS di Dewan Auditorium Pascasiswazah baru-baru ini.

Menurut Datuk D Kamarudin, daripada jumlah sumbangan yang diperuntukkan itu, setiap fakulti menerima bahagian sama rata iaitu masing-masing mendapat RM3,000.

“Justeru, saya berharap para dekan dapat memantau dan mengambil penekanan serius bagi memastikan aktiviti berkaitan alumni di fakulti masing-masing berjalan lancar,” tegasnya.

Penyampaian sumbangan kepada setiap dekan fakulti disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi.

Untuk rekod, penyaluran sumbangan alumni fakulti itu merupakan inisiatif di bawah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali melalui Pusat Alumni UMS.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Awang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *