SPRM siasat Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyiasat Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Susulan siasatan itu, sepasukan pegawai SPRM dilaporkan menjalankan pemeriksaan di rumah Jeffrey yang turut dijadikan pejabatnya di Keningau pada jam 10 hingga 11 malam tadi.

Difahamkan, siasatan dijalankan SPRM ada kaitan dengan kerjasama parti itu dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), baru-baru ini.

Timbalan Presiden STAR, Jalumin Bayogo, ketika dihubungi mengesahkan Jeffrey dipanggil ke pejabat SPRM Sabah di sini hari ini.

“Saya mendapat maklumat itu (Jeffrey dipanggil ke pejabat SPRM) selepas berhubung dengan peguam Datuk (Jeffrey). Mungkin selepas ini Datuk akan mengadakan sidang media,” katanya.

Bagaimanapun, usaha NSTP mendapatkan pengesahan SPRM dan Jeffrey setakat petang ini tidak berhasil.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung STAR, Ardino Diris, berkata beliau turut dipanggil ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari tadi.

“Setakat pengetahuan saya, tiada apa-apa barangan termasuk dokumen diambil oleh pegawai SPRM di pejabat Datuk (Jeffrey),” katanya.

Dalam PRU-14 baru-baru ini, STAR yang diketuai Jeffrey memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bekerjasama dengan BN yang memiliki 29 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Jeffrey turut dilantik sebagai seorang daripada tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan memegang portfolio Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri.

Bagaimanapun, kerajaan negeri BN – STAR kehilangan majoriti selepas enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menyokong Parti Warisan Sabah (WARISAN) sekali gus membolehkan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri dan membentuk kerajaan. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *