Padang awam Kota Marudu dan Tandek perlu perhatian

Saingan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) bagi Zon Sabah sudah melabuhkan tirainya. Yang pasti pasukan Keningau FA dan Tawau FA merupakan wakil Sabah untuk bersaing di peringkat kebangsaan musim ini.

Apa yang menarik perhatian umum sudah pasti tertumpu kepada venu kejohanan melibatkan pasukan tuan rumah Kota Marudu baru-baru ini yang terpaksa 'menumpang kasih' menggunakan Padang SMK Bandau sebagai venu rasmi kejohanan menentang pasukan Kinabatangan FA, Sandakan FA dan Keningau FA.

Daerah kita mempunyai dua padang awam yang lengkap dengan astaka serta tempat letak kereta yang luas tetapi tidak dapat digunakan untuk kejohanan-kejohanan besar seperti LBR.

Dan difahamkan, Padang Pekan Kota Marudu tidak dapat digunakan sebagai venu kejohanan disebabkan padang tersebut tidak melepasi syarat-syarat minimum yang telah ditetapkan oleh FAM.

Manakala, Padang Pekan Tandek yang lengkap dengan astaka juga tidak dapat digunakan kerana kemudahan tersebut seperti 'padang ragut' yang tidak diselenggara dan dipulihara yang boleh menyebabkan kecederaan orang awam yang menggunakannya.

Inilah menjadi bualan dan rungutan orang ramai setiap kali datang menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan tuan rumah bertempat di Padang SMK Bandau, 'tiada parking kereta' dan 'tiada tempat duduk'.

Ini bukan soal bola sepak semata-mata tetapi untuk sukan-sukan lain seperti acara padang dan balapan dapat dijalankan dipadang tersebut dengan selamat.

Daerah kita telah melahirkan ramai ahli sukan yang berwibawa tetapi kemudahan padang awam kita tidak seiring dengan kejayaan-kejayaan atlet yang telah dikecapi.

Justeru itu, mohon kepada pihak yang bertanggjawab dapat memgambil perhatian perkara ini demi kebaikan semua pihak dan pembangunan sukan di daerah ini.

Dennis Rumalin

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *