Musa Aman failkan saman baharu

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, hari ini memfailkan saman baharu dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Writ baharu itu difailkan menerusi firma guaman Messrs FT Ahmad & Co yang mewakili Musa, manakala saman yang difailkan sebelum ini pada 17 Mei lalu dibatalkan.

Saman berkenaan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri pada 12 Mei lalu adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Saman baharu itu akan didengar pada 9 Julai depan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Sementara itu, peguam Musa, Tengku Fuad Tengku Ahmad, ketika dihubungi berkata, saman pemula difailkan hari ini disokong oleh afidavit.

Semalam, Mohd Shafie mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan saman oleh Musa yang mencabar pelantikannya sebagai Ketua Menteri.

Mohd Shafie mengemukakan permohonan itu atas alasan bekas Ketua Menteri itu tidak mempunyai alasan munasabah untuk mencabar pelantikannya dan saman difailkan Musa bersifat ‘skandal dan remeh’ serta penyalahgunaan proses mahkamah.

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu adalah defendan kedua dinamakan Musa dalam saman difailkan pada 17 Mei lalu yang mana Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin sebagai defendan pertama. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *