Kerusi DUN Matunggong Kekal Dengan PBS – Musa

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah akan tetap meletakkan calon daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata, kedudukan dan peranan setiap parti komponen perlu dihormati dan diiktiraf.

Menurutnya, merujuk kepada kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin di Matunggong, yang menyentuh mengenai ‘peminjaman’ kerusi tersebut, merupakan sekadar cadangan pihak tertentu sebagaimana yang pernah berlaku di beberapa tempat lain.

Jelas beliau, pembahagian kerusi antara parti-parti komponen di Sabah kekal sebagai status-quo, seperti cadangan BN negeri sebelum ini.

“Kedudukan dan peranan setiap parti dalam komponen BN perlu dihormati dan diiktiraf. Inilah pendirian BN Sabah serta pegangan saya dalam memimpin UMNO Sabah,” katanya menerusi kenyataan media di sini pada Rabu.

Timbalan Perdana Menteri Isnin lalu, menyarankan PBS meminjamkan kerusi DUN matunggong susulan kekalahan calon parti itu kepada pembangkang pada PRU13.

Calon BN dari PBS, Sarapin Magana gagal mempertahankan kerusi DUN Matunggong selepas tewas kepada Datuk Jelani Hamdan yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 320 undi.

Sarapin yang juga Ketua Bahagian PBS Matunggong pada Selasa berkata, PBS tidak setuju dengan cadangan berkenaan kerana ia termaktub di dalam status quo seperti dibincangkan pucuk pimpinan BN Sabah sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *