Madius, Christina antara anggota Kabinet Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau adalah antara tiga Timbalan Ketua Menteri dalam Kabinet baharu kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dua lagi ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Christina Liew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api dan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Jaujan Sambakong (ADUN Sulabayan).

Ketiga-tiga mereka mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, petang tadi.

Madius turut memegang portfolio Menteri Perdagangan dan Perundustrian, manakala Christina sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, dan Jaujan pula dilantik menjadi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Madius yang memenangi kerusi Parlimen Tuaran atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebelum itu dilantik sebagai ADUN Dilantik bagi membolehkannya menyertai Kabinet negeri.

Beliau sebelum ini mengumumkan pendirian UPKO keluar BN dan menjalin kerjasama dengan pakatan WARISAN – PH bagi membentuk kerajaan negeri diketuai Mohd Shafie.

Mohd Shafie turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan negeri.

Turut mengangkat sumpah ialah tujuh ADUN yang dilantik sebagai menteri dengan masing-masing empat ADUN WARISAN, DAP (dua) dan UPKO (satu).

Mereka ialah Datuk Peter Anthony (ADUN Melalap), Junz Wong (ADUN Tanjung Aru), Datuk Dr Yusof Yaacob (ADUN Sindumin) dan Datuk Aidi Mokhtar (ADUN Pantai Manis) daripada WARISAN, manakala Ewon Benedick (ADUN Kadamaian) dan Poon Ming Fung (ADUN Tanjung Papat), masing-masing dari UPKO dan DAP.

Turut mengangkat sumpah ialah Ahli Parlimen Sandakan yang juga Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong (ADUN Dilantik).

Kabinet negeri kali ini turut merangkumi tiga kementerian baharu iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (Wong), Kementerian Pelajaran dan Inovasi (Dr Yusof) dan Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri (Aidi).

Peter dilantik Menteri Pembangunan Infrastruktur, Junz (Menteri Pertanian dan Industri Makanan), Ewon (Menteri Pembangunan Luar Bandar) Ming Fung (Menteri Belia dan Sukan).

Seramai 18 ADUN turut mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri, masing-masing 14 daripada WARISAN dan DAP (dua), PKR (satu), manakala satu lagi ADUN daripada BN yang menyokong kerajaan pimpinan Mohd Shafie.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *