Kerajaan komited banteras penjualan MyKad palsu – TPM Ahmad Zahid

Sabah merupakan negeri yang menjadi tumpuan aktiviti sindiket MyKad palsu kerana lokasinya yang strategik.

Kerajaan tidak akan berkrompomi dengan pihak yang terlibat dalam sindiket pengeluaran kad pengenalan (MyKad) palsu di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementerian beliau dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Imigresen juga telah berganding bahu dalam membendung isu itu daripada terus berlaku.

Menurut Ahmad Zahid, Sabah merupakan negeri yang menjadi tumpuan aktiviti sindiket MyKad palsu kerana lokasinya yang strategik selain berhampiran dengan negara jiran yang menjadi sumber tenaga buruh untuk Malaysia.

“Kita juga telah mengambil beberapa langkah siasatan terhadap sindiket dikenal pasti dan beberapa tangkapan telah dilakukan.

“Siasatan telah dijalankan JPN manakala PDRM membuka kertas siasatan terhadap laporan penjualan MyKad palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri taklimat bersama Pegawai Tertinggi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, hari ini.

Tambah beliau, pemilik MyKad palsu turut akan dikenakan tindakan yang tegas jika didapati melakukan sindiket penipuan ini.

Sementara itu, kerajaan akan meneliti cadangan penubuhan satu jabatan bertaraf penuh bagi merancang, menguat kuasa, menyusun strategi dan melaksanakan langkah pencegahan kejadian lemas yang sering berlaku baru-baru ini.

Katanya, beliau berharap agar kertas cadangan mengenai perkara itu akan diberikan kepadanya dalam tempoh terdekat memandangkan cadangan itu dilihat positif selain memberi manfaat kepada orang awam.

“Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye telah mencadangkan satu pasukan khas jawatankuasa siasatan berkenaan kejadian lemas dan saya berharap agar kertas cadangan tersebut dapat di kemukakan kepada saya untuk kami meneliti cadangan tersebut,” katanya.

Baru-baru ini, Lam Thye dalam kenyataan menyarankan agar kerajaan menubuhkan satu jabatan keselamatan aktiviti air bagi menangani kes kematian akibat lemas.

Jelas Lam Thye, langkah itu penting ekoran kes kematian akibat lemas dilihat semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini. – Astro Awani

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *