Kerajaan Digesa Bantu Selesai Isu Jawatan Bekas Pembantu Tadbir Sambilan Lantikan KPM Di Sabah

KOTA KINABALU: Kumpulan bekas Pembantu Tadbir Sambilan (Pembantu Guru) lantikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merayu agar kerajaan negeri dapat membantu menyelesaikan isu ini yang sudah sekian lama berlarutan.

Kumpulan itu yang ditemui berharap, kerajaan negeri melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah yang telah diwujudkan dapat membantu menyelesaikan isu ini yang sudah banyak kali diutarakan namun tiada sebarang maklumbalas yang positif diterima.

Noor Ismawaty Ismail yang mewakili kumpulan itu berkata, dokumen rayuan sudah diserahkan dipejabat Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabab melalui serahan kaunter dan berharap akan ada tindakan sewajarnya.

Menurut Ismawaty, mereka kecewa dengan pentadbiran terdahulu kerana rayuan demi rayuan yang telah dikemukakan tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Malah, wakil kumpulan itu juga telah bertemu dan menyerahkan sendiri memorandum kepada mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu namun maklumbalas yang diterima mendukacitakan.

‘Kumpulan kami jadi “halimunan” dan hanya wujud di Kedah dan Melaka sedangkan kami pun terlibat dalam program ini’

‘Saya hairan kenapa mantan Menteri Pendidkan Malaysia boleh cakap semua Pembantu Guru bagi Kedah, Sabah dan Melaka masih bertugas seperti biasa dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 26 Mac 2017. Tetapi hakikatnya, kami tidak pernah dilantik semula selepas tamat perkhidmatan pada 31 Disember 2013’, jelas Ismawaty yang ditemui disini.

‘Kami harap dengan kerajaan persekutuan dan negeri yang baru dapat mendengar rayuan kami seterusnya kami dilantik semula’, ujarnya lagi.

Pada tahun 2013 Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewujudkan jawatan ini bagi negeri Sabah dan Kedah untuk membantu mengurangkan beban tugas guru. Seramai 813 orang terlibat bagi negeri Sabah dan telah ditempatkan disemua sekolah-sekolah negeri ini.

Namun, jawatan ini tidak diteruskan bagi negeri Sabah dan hanya negeri Kedah bersama Melaka saja diteruskan.

Noor Ismawaty Ismail Pengerusi Kumpulan Bekas Pembantu Tadbir Sambilan lantikan KPM bagi negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *