DUN Sabah bubar serentak dengan Parlimen

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi membolehkan pilihan raya negeri dibuat serentak dengan Parlimen, selaras pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa esok.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, mengumumkan pembubaran itu di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya dekat sini, kira-kira jam 3 petang tadi.

Sebelum itu, beliau menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri bagi menyembah surat dan memohon perkenan pembubaran DUN.

Kenderaan dinaiki beliau dilihat memasuki pekarangan istana pada jam 2.43 petang, sebelum keluar kira-kira 10 minit kemudian.

Ketika mengumumkan pembubaran DUN, Musa berkata, ia bagi membolehkan kerajaan mendapatkan mandat baharu daripada rakyat selepas lima tahun memberikan khidmat.

“Selepas lima tahun kita berbakti, berkhidmat dan mengabdikan diri kepada perjuangan membela nasib rakyat dan memajukan Sabah yang tercinta ini, kini tibalah masanya kita menyerahkan kembali mandat kepada rakyat,” katanya.

Musa turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama, sokongan dan komitmen tinggi kepada kerajaan negeri dalam menjayakan agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat selama ini.

Beliau juga berharap agar kerjasama, sokongan, komitmen dan kepercayaan akan terus diberikan kepada BN menerusi mandat yang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) demi menjamin kesinambungan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, beliau berkata, tindakan undang-undang berkaitan 13 kerusi tambahan DUN Sabah yang diluluskan sebelum ini tidak menjejaskan pembubaran DUN.

Ini kerana, katanya, 60 kerusi DUN Sabah ketika masih sah kerana Parlimen belum meluluskan kerusi tambahan atau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Wilfred Bumburing, mengemukakan Saman Pemula di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendapatkan perintah supaya pilihan raya negeri ditangguhkan sehingga Usul Persempadanan Semula Pilihan Raya di Sabah dibentangkan di Parlimen.

Usul penambahan 13 kerusi DUN Sabah diluluskan pada persidangan DUN Sabah pada 9 Ogos 2016, namun tidak dibentangkan di Parlimen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *