Air Terjun Madai Kunak dicadang tutup sementara

KUNAK, 27 Ogos – Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif mencadangkan Jabatan Perhutanan negeri menutup sementara Pusat Riadah Air Terjun Madai sehingga kerja-kerja membaiki kelemahan fasiliti pusat riadah itu diselesaikan.

Katanya saranan itu adalah terbaik bagi menjamin keselamatan pengunjung yang datang beriadah di air terjun tersebut.

“Kemudahan sedia ada di sini agak lemah, dengan tangga sangat licin dan kekurangan kakitangan bagi memantau keselamatan pengunjung yang datang ke sini.

“Kelemahan ini perlu kita baik termasuk jumlah kakitangan pusat riadah mencukupi untuk memantau keluar masuk pengunjung dan selepas itu bincang untuk membuka semula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Riadah Air Terjun Madai serta perbincangan bersama staf pusat riadah dan pihak polis di sini, hari ini.

Semalam dilaporkan seorang lelaki Serajudden Jeni, 43, dilaporkan hilang selepas mandi di air terjun itu sebelum mayatnya ditemui terapung oleh anggota bomba pada pukul 3.32 petang.

Menurut Norazlinah, pusat riadah itu tidak boleh ditutup sepenuhnya memandangkan kawasan itu antara tarikan pengunjung datang ke Kunak.

Sehubungan itu, beliau mahu kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan pusat riadah itu dilaksanakan secara berkualiti.

“Kita minta Jabatan Perhutanan untuk memantau kerja-kerja kontraktor yang terpilih, jika ada kekurangan bajet perlu dimaklumkan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya memberi kerjasama mematuhi peraturan yang ditetapkan atau notis papan tanda yang diletakkan oleh sesebuah pusat riadah, seperti larangan mandi di kolam air terjun.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *