814 orang bekas Pembantu Guru Sabah rayu Perdana Menteri pertimbang jawatan dilantik semula

KOTA MARUDU: Wakil bekas Pembantu Guru negeri Sabah hari ini merayu kepada YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia agar jawatan tersebut dilantik semula di negeri ini.

Wakil kumpulan itu Jafreyson Mullin yang ditemui berkata beliau berharap rayuan ini dapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya daripada Perdana Menteri kerana berbagai usaha sudah dilakukan agar jawatan tersebut dilantik semula.

Menurutnya, harapan ini bertepatan dengan lawatan kerja Perdana Menteri ke Sabah baru-baru ini seperti yang dikatakan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, walaupun sibuk dengan tugas dan tanggungjawab, Perdana Menteri tetap meluangkan masa untuk turun padang merasai denyut nadi rakyat di negeri ini.

“Pengerusi dan timbalan pengerusi kami Noor Ismawaty Ismail dan Dennis Rumalin sudah bertemu dengan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan”

“Tetapi, surat maklumbalas yang diterima semuanya mendukacitakan. Dan inilah harapan kami supaya PM dapat meneliti dokumen tersebut seterusnya mempertimbangkan rayuan itu agar kami yang terlibat di negeri ini dilantik semula”, jelas beliau.

Sebelum ini Dennis yang mewakil kumpulan itu diiringi oleh Jamawi Jaafar Ketua Pemuda Tenom sudah menyerahkan memorandum jawatan tersebut kepada YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia dipejabatnya pada Ogos 2016.

Kemudian, pada April 2017 Dennis telah menyerahkan memorandum yang sama kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri semasa lawatan kerjanya ke Kota Marudu.

Manakala, pada April 2017 Dennis dan Jafreyson sekali lagi telah menyerahkan memorandum yang sama kepada Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili Ahli Parlimen Kota Marudu merangkap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia.

Namun, semua maklumbalas yang diterima oleh kumpulan itu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendukacitakan.

Jafreyson ditemui selepas menyerahkan dokumen rayuan tersebut kepada Christopher Mandut, Pemangku Ketua Pemuda PBS Negeri bertempat di pejabatnya di Kota Marudu pagi tadi (23.01.2018) dan berjanji akan menyerahkan dokumen tersebut kepada YAB Perdana Menteri dalam masa terdekat ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *