Jeffrey tidak hiraukan peringatan Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan menegaskan beliau tetap hadir di pejabat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah di Wisma Pertanian di sini, bagi menjalankan tugas sebagai ‘menteri di kementerian itu’.

Beliau yang dilantik Timbalan Ketua Menteri dan memegang portfolio Menteri Pertanian dan Industri Makanan di bawah Kabinet Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman, sebelum ini sudah diberi peringatan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya tidak berbuat demikian.

“Bagaimana beliau (Mohd Shafie) mahu menghalang saya, adakah dengan menggunakan polis atau mengunci pintu pejabat (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan).

“Adakah ini kerajaan tentera atau polis? Sehingga kini tiada apa-apa arahan rasmi yang menarik balik jawatan ini (daripada saya),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, bagaimanapun berkata beliau akan menghubungi Setiausaha kementerian itu untuk mendapatkan nasihat berhubung isu berkenaan.

Beliau mendakwa, isu berhubung jawatannya itu belum muktamad seperti kemelut mengenai siapa Ketua Menteri Sabah.

Isnin lalu, Jeffrey ‘melaporkan diri’ di pejabat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Wisma Pertanian dan sempat menemui pegawai kanan kementerian terbabit walaupun Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin sudah melantik Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri, Sabtu lalu.

Pada Khamis lalu, Jeffrey adalah antara tiga Timbalan Ketua Menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri susulan pelantikan Musa sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri pada Sabtu lalu, selepas parti itu berkata Pakatan Harapan (PH) memperoleh majoriti mudah apabila enam ADUN BN menyatakan sokongan kepada mereka. – BH ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *